Nilai murni yang terdapat dalam novel "Dalam Sujud Cinta"






Nilai kasih sayang
Nilai kasih sayang yang terdapat dalam novel ini jelas tergambar melalui watak Tiara.Tiara sangat menyayangi suaminya Aldi.Bukti kasih sayangnya pada Aldi ialah dia tidak merelakan suaminya untuk berkahwin lain .Selain itu Tiara tidak menerima lamaran Adit yang ingin menjadikannya sebagai isteri.Dia menerima suaminya seadanya walaupun hakikatnya suaminya mandul dan tidak memberikan kebahagian kepadanya seperti yang diimpikan .

 Nilai kesabaran
Nilai kesabaran jelas tergambar pada watak Tiara.Tiara sabar dengan kerenah ibu Aldi yang memintanya untuk mengizinkan suaminya berkahwin baru dengan calon pilihan keluarga iaitu Sawitri.Dia juga sabar dengan cacian orang di sekelilingnya yang menganggap dia sebagai wanita yang tidak bermaruah apabila mereka melihatnya sering keluar bersama dengan Adit.

Nilai kejujuran
Nilai kejujuran jelas tergambar pada watak Kirana .Dia jujur bersahabat dengan Tiara dan berterus terang menyatakan pendapatnya berkaitan dengan perhubungan Tiara dan Adit yang dirasakan tidak elok pada pandangan masyarakat dan boleh menimbulkan fitnah.Dia juga menasihati Tiara agar sedar akan statusnya sebagai isteri orang..

Nilai bertanggungjawab
Nilai bertanggungjawab dipaparkan melalui watak Aldi .Sewaktu Tiara berada di hotel, Aldi menelefon Tiara dan bertanyakan keadaan dirinya dan bercadang untuk mengambilnya di hotel.Dia juga menjaga Tiara sewaktu Tiara sakit di hospital .Aldi mengangkat  Tiara yang pengsan di kampus.

Nilai kerajinan
Nilai kerajinan jelas tergambar pada Adit dan Tiara.Mereka bekerjasama dan menunjukkan kerajinan masing-masing dalam bidang bahasa.

Nilai rasional
Nilai rasional jelas tergambar pada watak Tiara .Menyedari hakikat bahawa hubungannya dengan suaminya semakin renggang,dia membuat keputusan untuk ke hotel tempat mereka pernah berbulan madu suatu ketika dahulu untuk mencari ketenangan dan memikirkan jalan penyelesaiaan untuk menyelesaikan masalah mereka.


NILAI-NILAI MURNI NOVEL OPERASI 3K

KARYA : SARIDAH HAMID REJA



     Novel yang telah saya kaji iaitu novel Operasi 3K yang memaparkan beberapa nilai-nilai murni yang boleh dijadikan teladan. Antaranya ialah menjaga kebersihan, dalam novel ini menunjukkan bahawa kebersihan amat penting untuk menghindari daripada penyakit berbahaya yang boleh memudaratkan kesihatan melalui serangga yang dikenali sebagai nyamuk Aedes. Kebersihan itu merupakan sebahagian daripada iman, merupakan moto utama dalam novel ini. Guru-guru di sekolah Aisyah Sofia menceritakan tentang kebaikan menjaga kebersihan dan keburukan jika kebersihan tidak dijaga dengan baik . Tambahan pula salah seorang murid kelas Aisyah telah demam dan dimasukkan ke hospital.  Keluarga  Aisyah juga sibuk membersihkan sekitar rumahnya pada hujung minggu dan berusaha menguruskan tanah terbiar daripada terus dibiarkan tanpa apa-apa hasil. 

    Selain itu nilai kerjasama, contoh sifat kerjasama dalam novel itu ditunjukkan melalui situasi  kawan-kawan Aisyah bekerjasama memberi cadangan untuk menjalankan projek tanah terbiar atas permintaan ayah Aisyah. Mereka juga bersama-sama telah berkebun menanam sayur dan menternak ayam tanpa mengharapkan pembalasan. Akhirnya, usaha mereka membuahkan hasil yang sangat banyak dan telah disumbangkan kepada orang ramai.


    Seterusnya, kasih sayang juga merupakan nilai yang ditunjukkan menerusi keluarga dan juga kawan-kawan Aisyah Sofia yang amat sayang dan prihatin akan keadaannya Keluarga Aisyah selalu hidup dalam keadaan berkasih sayang ini dapat dilihat ketika Aisyah sakit, keluarganya sangat prihatin dan tidak pernah leka menjaganya. Ibu dan kakaknya sentiasa mengawasi keadaannya dan tidak meninggalkannya seorang diri dalam keadaan tidak mampu bangun tanpa bantuan orang lain. Selanjutnya, kawan-kawan Aisyah juga selalu bertanya khabar tentang dirinya dan amat terkejut apabila mengetahui Aisyah jatuh sakit secara tiba-tiba. Mereka selalu berkunjung ke rumah Aisyah bagi mengetahui perkembangan kesihatannya dan sangat gembira apabila dia dapat kembali ke sekolah seperti biasa dalam keadaan sihat.


             Selanjutnya, pemurah merupakan nilai murni yang perlu ada dalam diri setiap individu. Dalam novel ini pemurah dapat dilihat contohnya, Ali datang membawa buah jambu dari rumahnya untuk diberikan kepada Aisyah Sofia yang amat menyukainya. Selain itu, Amirah yang meupakan kawan baik Aisyah juga datang ke rumahnya untuk memberikan kuih lepat pisang daripada emaknya. Ibu bapa Aisyah juga sering kali mengajak kawan-kawannya makan di rumah mereka. Penduduk kampung Badak Berendam juga sangat pemurah dengan memberi sumbangan ikhlas kepada nenek Miah yang dilanda kesusahan dan memerlukan bantuan sedemekian. 


          Akhir sekali, pada masa kini sikap hormat menghormati kepada sesama manusia tidak kira sama ada tua atau muda semakin kurang diamalkan. Namun demikian, dalam novel ini nilai hormat menghormati lebih terserlah dan diamalkan. Hal ini dapat dilihat apabila Aisyah dan kakaknya amat menghormati ibu bapa mereka sebagai contoh mereka tidak pernah membantah kata-kata ayahnya semasa disuruh untuk membersihkan kawasan sekitar rumah pada awal pagi yang sejuk sedangkan kebiasaanya itu merupakan waktu tidur pada hujung minggu. Seterusnya, Aisyah dan rakan-rakannya juga amat menghormati nenek Miah sebagai orang tua dengan cara berkomunikasi dan beramah mesra. Aisyah dan rakan-rakannya juga tidak mengambil buah rambutan yang masak ranum dan kelihatan tidak berpunya itu tanpa mendapatkan kebenaran tuan empunya dahulu.